Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.
[Gurindam fasal yang keeempat; Gurindam 12]
Aku tak tau apa isu sebenarnya yang menjadi punca pergaduhan tu. Tapi dari rakaman video tersebut, mungkin dalam ketidak-warasan akibat mabuk, dia terhina Melayu. Aku guna 'ter' sebab segalanya mungkin berlaku secara dengan niat atau tanpa niat. Itu hanya dia dan ALLAH je la yang tahu. Tetapi yang menjadi isu di kaca mata pandangan aku adalah apabila melihat mereka yang kononnya mengaku diri mereka Melayu berang apabila martabat Melayu mereka yang merupakan penduduk asal Tanah Melayu ini diperlecehkan.
Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
....
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
[Gurindam fasal yang kelima; Gurindam 12]
Aku tak salahkan mereka ('Melayu'2) ini yang sedikit tercalar apabila maruah bangsa diperkotak-katikkan orang. Cuma aku tertanya2.. alim dan mulia sangatkah mereka ini yang tidak pernah mengutuk bangsa lain? Sedikit sebanyak mesti pernah terkeluar perkataan 'paria' dan perkataan2 berkonotasi negatif lain yang merujuk kepada bangsa2 lain. (Terpikir juga apabila Melayu mengutuk orang lain sebagai sakai dan jakun sedangkan sejarah menunjukkan Melayu juga tergolong dalam kelompok Porto-Malay bersama kaum Sakai dan Jakun. Lalu, mulia benarkah kita mengutuk orang dengan perkataan sedemikian sedang kita sendiri sebahagian darinya?! Seumpama meludah ke langit lalu jatuh ke muka sendiri) Hanya kerana beliau well-known journalist yang sangat terkenal dengan peribahasa Bahasa Melayunya.. lalu apabila tersilap kata, dihentam orang bagaikan diabersalah besar 'merogol anak2 perempuan' mereka (maaf analogi kasar). Aku cuba melihat betapa agulnya mereka dan 'kebijaksanaan' mereka dan mengendalikan permasalahan ini.
Aduhai... apa Melayu itu memang suka 'hu-ha'2 menjerit terlolong bagai disampuk hantu apabila menegaskan pendirian? Lagaknya bukan main seperti 'carutan' KSW tersebut dihamburkan sebijik2 di hadapan batang hidungnya. Bukan main samseng hendak mengajak bergaduh pula apabila KSW merelakan dirinya dipukul. Wahh....masih wujud badang2 di bumi Tanah Melayu di zaman moden ini ya yang bukan main tunjuk lagak kuatnya... Mungkin sudah cukup kebal untuk dihantar ke Palestin menyertai misi keamanan di sana.
Mengenali bangsa Melayu itu sendiri seharusnya pada perkiraan aku, kita tak seharusnya berlagak angkuh sangat. Kita bukan bangsa terpilih yang sejak lahiriah memang sudah wujud bangsanya seperti Israel dan lain2. Kita sendiri terwujud dari penghijrahan nenek moyang yang berasal dari Yunan. Dan sejarah Parameswara sebagai manusia ulung yang membuka Melaka masyhur pun bermula dari insiden hitam baginda membunuh putera Temasek lalu melarikan diri ke dalam hutan. Susur galur sejarah kita sendiri ada peristiwa hitamnya... Yang mana Melayu itu bukan dipaparkan sebagai bangsa yang indah pekertinya. Tetapi kita berubah sedikit demi sedikit dalam lingkungan adat dan agama lalu membentuk Melayu yang sederhana tapi cantik luar dalamnya.
Aku sendiri bukan Melayu totok yang kaya budi bahasanya.. Aku juga insan yang tak terlepas dari lancangnya berkata-kata tanpa memikirkan orang lain. Keterlanjuran yang menjadi kebiasaan hingga mencalar moleknya lingkungan bangsaku sendiri. Pendek kata, bangsa mana2 pun ada kelebihan dan kekurangannya. Megah kita bercerita tentang hikayat Hang Tuah dan Merong Mahawangsa tetapi jangan pula menginjak2 maruah bangsa lain. Dan apabila terdengar maruah bangsa sendiri dicerca, tanganilah seperti orang yang berbangsa dan bermaruah. Sedang definisi bangsa itu sendiri menunjukkan sesebuah masyarakat itu ada norma dan ketinggian budaya dan peribadinya yang merujuk kepada bangsa yang bertamadun. Tetapi melihatkan video itu, aku tertanya... lenyap sudahkah ketamadunan itu? Luput sudahkah ketinggian peribadi Melayu itu.
Aduyai Melayu... aku suka sekali memetik kata2 dari novel karya Faisal Tehrani - Manikam Kalbu yang isi ceritanya banyak berkisar tentang memelayukan Melayu tetapi terlupa di mana aku letakkannya. Andai ada kesempatan akan diupdatekan serba sedikit intipati novel tersebut.
Tetapi sesungguhnyalah... Gurindam 12 karya Raja Ali Haji sendiri sudah menggariskan apa yang patut itu Melayu itu lihat dan ikuti. Memang Melayu itu mudah lupa merujuk kata mantan PM, Tun M. Andai terus Melayu kini berkelakuan sebegini rupa, memang bukan saja Melayu itu terlupa tetapi bakal dilupakan juga.
http://beautifulnara.com/?s=karam+singh+walia
No comments:
Post a Comment